Mengurangkan bebanan rakyat
Oleh Hatipah Ahmad
Antara yang diperkatakan di dalam Belanjawan 2007 adalah penghapusan yuran peperiksaan sekolah dan bantuan supaya kira-kira 31,000 mahasiswa menganggur mendapat pekerjaan. Langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan membangunkan modal insan berkualiti dan meningkatkan peluang pekerjaan, terutama kepada graduan.
Bak kata Perdana Menteri, dalam usaha membangunkan modal insan berkualiti, kerajaan akan menggunakan pendekatan menyeluruh iaitu pengetahuan dan kemahiran, nilai etika dan kesedaran budaya akan diberi lebih tumpuan.
Langkah itu, katanya, membolehkan pembangunan sumber manusia yang terlatih dan setanding dengan sumber tenaga luar negara, dan jika ia berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan boleh dieksport ke pasaran antarabangsa.
Di dalam sektor pendidikan, Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu-bapa dan Guru Nasional, Profesor Mohamad Ali Hassan, berpandangan Bajet 2007 menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menjana pembangunan modal insan.
Katanya, pembangunan modal insan adalah satu-satunya bidang yang perlu sentiasa diberi perhatian kerana ia membabitkan pendidikan anak generasi bangsa Malaysia.
Memang benar apa yang dikatakan, kita boleh melihat kesungguhan kerajaan dalam mendidik anak bangsa apabila memansuhkan semua yuran peperiksaan daripada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).
Malah, dalam bajet kali ini, kerajaan memperuntukkan RM33.4 bilion untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan bagi mengukuhkan sistem pendidikan dan latihan yang mana RM6.7 bilion daripadanya untuk pendidikan rendah, RM6.2 bilion untuk pendidikan menengah, RM10.4 bilion untuk pendidikan tinggi serta RM10.1 bilion untuk program latihan.
Mohamad Ali berkata, kesungguhan itu terbukti dengan pengumuman kerajaan bahawa pelajar yang mendapat 10A1 atau yang setara daripada keluarga yang memperoleh pendapatan bulanan RM1,500 dan ke bawah akan diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.
Malah, pendaftaran pelajar pada 2007 dijangka mencecah 3.2 juta untuk sekolah rendah dan 2.3 juta untuk sekolah menengah di samping peruntukan RM1 bilion untuk 22 sekolah rendah dan menengah tahun depan ditambah 198 sekolah lagi untuk dibina termasuk sekolah berasrama penuh.
Tingkatkan daya saing anak anda di dalam pendidikan. ww.scorea.aridztech.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment